Tuesday, 23 May 2017

Kita Merancang, Tuhan Pun Merancang

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Penyayang.
In the name of Allah the most Gracious and the most Merciful




Buat abah yang dirindui


Akak mengharapkan abah di sana sihat-sihat sahaja. Sudah lima bulan abah pergi tanpa diduga. Sudah lima bulan akak, mak, along, angah, kakngah, acik, syila dan luth hadapi hari-hari tanpa abah. Sudah lima bulan juga akak tidak dapat sentuh raut wajah abah yang tenang itu. Siapa sangka, kita merancang, tapi Pencipta kita lebih hebat merancangkan abah? Akak masih ingat lagi insiden itu. Insiden akak dapat panggilan dari mak dan mak minta akak balik waktu itu juga. Mak beritahu yang abah kemalangan. Akak sendiri tidak tahu mahu respon bagaimana. Dengan keadaan ketika itu akak perlu menghadapi peperiksaan akhir semester pada esok harinya. Namun, memikirkan akan ada sesuatu yang lebih dahsyat bakal berlaku, akak terus sahaja bersiap-siap dan bergerak pulang ke Perak. Tidak sampai separuh jalan lagi, angah memberitahu bahawa abah sudah pergi buat selama-lamanya. Allahu. Ujian apakah ini? Akak sendiri tidak bersedia untuk menghadapi saat-saat itu. Namun, itulah yang seharusnya akak terima. Akak cuba redha. Akak cuba kuat. Tapi maafkan akak abah. Hingga saat ini, akak tidak mampu lagi menahan air mata setiap kali wajah abah muncul dalam fikiran akak. Akak tidak mampu lagi menahan air mata setiap kali akak titipkan doa buat abah selepas solat. Akak tak mampu lagi untuk move on. Perginya abah tanpa diduga. Perginya abah bukan kerana apa-apa sakit yang berbahaya. Perginya abah dalam sekelip mata sahaja. Hebat sungguh perancangan Tuhan.


Sepanjang lima bulan ketiadaan abah di alam dunia ini, terlalu banyak perubahan berlaku. Terasa kurang  ahli di dalam rumah bila abah sudah tiada. Kadang-kadang tanpa sedar, akak mencari kelibat abah di dalam rumah. Sesekali, mulut akak ringan sahaja mahu memanggil abah. Namun, akak sedar apa yang akak buat itu sudah tiada makna lagi. Abah sudah benar-benar tiada lagi di alam dunia.


Abah, lebih kurang dua bulan selepas abah pergi, kami pindah rumah. Kami tidak lagi tinggal di kuarters itu. Walaupun terlalu banyak kenangan kita bersama, kami perlu juga pindah kerana abah tidak lagi bekerja di situ. Terlalu berat hati ini untuk meninggalkan rumah itu setelah hampir 25 tahun kita menetap bersama. Namun, kami terima segala ketentuanNya dengan redha. Abah, kami sekarang duduk di Lekir. Dekat sangat dengan sekolah syila. 5 minit sudah sampai di sekolah syila. Memang sengaja mak mencari rumah di sekitar kawasan itu. Takut-takut syila tidak dapat sesuaikan diri di sekolah baru dan ditambahkan pula dengan pemergian abah sebelum persekolahan sesi baru bermula. Syila nampak okey di sekolah baru walaupun selalu menangis sebelum tidur teringatkan abah. Tidak peliklah kalau syila selalu menangis sahaja. Jika akak sendiri di tempat syila, mungkin ke sekolah pun akak tidak mahu pergi. Mungkin sebab itu Allah sudah aturkan untuk abah pergi ketika umur akak sudah menjangkau 21 tahun. Jika abah tinggalkan akak seumur syila, mungkin akak lebih sukar untuk terima semua ini. Syila memang kuat, abah. Sebab itu Tuhan beri ujian hebat untuk syila yang semuda ini.


Namun, sekuat-kuat syila, selalu juga syila ajak akak ziarah kubur abah. Akak turutkan saja permintaan syila. Akak faham, agak sukar untuk syila terima semua ini. Pernah bila mana akak dan syila sampai di kubur abah, syila diamkan diri dan tidak semena-mena, air mata membasahi pipi. Allahu. Akak pun tak kuat bah. Akak cuba pujuk syila, sebaliknya akak juga turut menangis bersama dia. Ujian yang hebat untuk orang yang hebatkan bah? Takpe bah, kami masih cuba untuk kuat dan terima takdir Tuhan dengan hati yang terbuka.




Mak pula nampak biasa-biasa sahaja depan kami adik-beradik bah. Tapi akak tahu, jauh di sudut hati mak, mak terlalu rindukan abah. Kasih seorang isteri terhadap suaminya takkan pernah lekang. Mana taknya, abah lah cinta hati mak. Susah senang hidup bersama. Cuma abah terpaksa pergi dulu dari mak. Mak akur. Akak pernah dengan perbualan kakngah dengan mak. Kakngah sengaja bertanya pada mak, ‘mak nampak okey je kan walaupun abah dah takde. Kebiasaannya, kalau si suami meninggal, si isteri pastinya akan ziarah ke kubur suaminya setiap hari, tapi mak tak buat pun macam tu. Mak hadapi hari-hari mak macam biasa. Macam tiada apa berlaku’. Lalu mak menjawab, ‘tipulah kalau mak tak nangis, mak tak sedih. Menangis tu selalu saja. Cuma mak taknak tunjuk depan anak-anak. Mak kena kuat demi anak-anak mak. Kalau bukan mak, siapa lagi. Mira, acik, syila masih belajar. Takkan mak nak meratap dan menangis di kubur abah setiap hari. Mak taknak buat macam tu. Yang pergi tetap pergi. Kita yang hidup lagi kena teruskan hidup. Lebih baik mak berdoa untuk abah setiap kali lepas solat. Itu lebih baik’. Tenang saja mak menjawab soalan kakngah walaupun akak dapat rasakan suara mak seakan-akan tersekat untuk memberi jawapan. Abah, akak nampak mak kuat sangat bah. Tak sia-sia abah kahwin dengan mak dulu. Walaupun kita selalu dengar bebelan mak, tapi itulah sebenarnya karekter mak dalam mendidik anak-anak. Kalau dulu, apa-apa perkara mak mesti bincang dengan abah . Tapi sekarang, mak mesti cerita pada kami adik beradik. Minta pendapat, kongsi cerita dan macam-macam lagi.


Luth pula dah setahun 3 bulan dah bah. Besar dah cucu sulung abah sorang ni. Macam-macam peel dah Luth buat. Pandai jalan. Pandai main dengan makpak sedara dia. Pandai buat muka comel. Pandai membebel sorang-sorang. Pandai berangan sorang-sorang depan kamera. Dan macam-macam lagilah. Kalau abah ada lagi, mesti abah pun gembira tengok Luth membesar. Bila akak fikir semula, akak baru perasan, kebanyakan video Luth masa abah ada lagi, banyak yang dirakam bersama abah. Mungkin itu salah satu tanda sebelum abah pergi selama-lamanya. Video-video abah dan Luth comel sangat. Akak akan pastikan bila Luth dan besar sikit nanti, akak nak tunjukkan kenangan Luth dengan atok dia. Biar Luth ingat sampai bila-bila wajah atoknya, betapa kacaknya atok dulu, betapa akrabnya Luth dan atok masa kecik-kecik dulu dan betapa cutenya gambar-gambar Luth dan atok bersama. Akak nak Luth sayang atok dia macam mana Luth sayang walidbonda dia walaupun Luth tak pernah kenal siapa atok dia.


Abah, baru-baru ni, acik dapat result sem 2 dia. Kalau result sem 1 acik kurang memuaskan, kali ni acik berjaya buat yang terbaik. Senyum lebar acik bila kongsi result dia pada mak dan akak. Tapi kalau abah ada lagi, mesti lagi seronokkan? Mesti abah bangga dengan acik. Acik ada bagitahu yang dia nak buat short sem hujung bulan 7 ni. Harap-harap semuanya berjalan dengan lancar.


Abah, akak dah nak final exam semester 6 ni. Dan kali ni, akak berharap sangat takkan ada perkara buruk berlaku lagi sepertimana yang dahulu. Pengalaman dulu sakit bah. Sakit sangat. Akak tak bersedia lagi untuk kehilangan orang yang akak sayang. Cukuplah abah pergi dengan keadaan yang mengejutkan. Akak selalu berdoa agar Tuhan sentiasa jaga keluarga kita walaupun abah sudah tiada. Ramadan kali ini juga sudah tentu tidak seperti dulu dah bah. Yang pastinya, akak akan sentiasa merindumu Abah. Takkan pernah hilang rasa cinta, sayang dan rindu akak pada abah. Abahlah lelaki pertama yang paling akak sayang. Walaupun berpisah jasad, takkan pernah hilang rasa sayang dan cinta pada abah. You taught me everything about life. Akak ingat lagi kata-kata abah, “Kalau ada masalah sampai tak mampu nak hadapi, cerita pada Allah, mengadu pada Allah, sebab Allah yang jadikan kita. Allah juga yang bolak-balikkan hati kita. Allah uji tanda Allah sayang. Mungkin mira boleh cerita masalah mira pada abah, dan abah hanya boleh bagi support dan nasihat pada mira. Selebihnya, minta pada Allah. Manusia tak boleh bagi apa-apa. Tapi Allah boleh bagi ketenangan pada kita.” Lebih kurang begitulah kata-kata abah melalui telefon waktu akak tengah ada a quite big problem masa tu. Kalau dulu, akak tak faham maksud ayat abah ni. Tapi sekarang, akak dah faham dah. Lama dah sebenarnya abah bagi hint kat akak yang abah akan pergi tak lama lagi. Cuma akak je yang tak perasan.


Abah, terima kasih sebab sentiasa menjadi abah yang terbaik untuk anak-anak abah. Terima kasih sebab sudah mendidik kami menjadi hamba Allah yang taat pada perintahNya. Terima kasih sebab sentiasa menjadi abah yang penyayang. Abah yang kelakar. Abah yang suka bagi kata-kata semangat pada anak-anak abah dan macam-macam lagi. Kalau nak tulis satu persatu kebaikan abah, satu hari pun belum tentu cukup lagi bah. Sedangkan orang yang mengenali abah pun tak pernah lekang dari mulut mereka berkatakan tentang kebaikan abah, apatah lagi anak-anak abah yang hidup sebumbung dengan abah. Kalau diberi pilihan, sudah pasti akak taknak abah pergi dulu. Tapi akak tahu, orang yang baik-baik ini Allah selalu panggil awal dari yang lain. Akak sentiasa berdoa agar abah gembira di alam sana. Sayang, cinta dan rindu pada abah takkan pernah hilang dari hidup akak. Berehatlah abah di sana. Selamanya rindu pada abah.


Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment

www.binturaida@gmail.com